Friday, February 15, 2013

Ayam Black Paper

Assalamualaikum....

Selamat petang kepada semua. Ini adalah resepi pertama dalam minggu ni yang mama nak kongsikan. Almaklum ler..mama memang kesuntukan masa untuk mengupdate blog. Hujung- hujung minggu ni baru la masa tu ada sikit..
Kali ni mama nak kongsi resepi ayam black paper. Dengo resepi macam senang jer..tapi untuk mereka yang belum pernah cuba..tentu susah juga kan? Takper..mama akan beri resepi yang mudah, simple dan ofkozzzz...lar sedapppp..heheee..

Ayam Black Paper

Bahan:
- 1/2 ekor ayam dipotong dan digoreng mcm biasa.
- 1 biji bawang besar dipotong bulat
- 4 ulas bawang putih - di cincang halus
- 2 sudu besar lada hitam - tumbuk
- 1 cwn air asam jawa
- 1 biji tomato - dipotong 6
- 1/2 biji kapsikum hijau - di hiris kasar
- 2 biji cili merah - di potong empat
- 2 sudu besar sos lada hitam
- 2 sudu besar kicap manis
- garam dan gula secukup rasa

CARA2
- Panaskan kuali dan masukan sedikit minyak..masukkan bahan bawang putih..kacau sekejap
- masukan pula bawang besar yang di potong bulat, kacau lagi..
- masukan lada hitam tumbuk, sos lada hitam, kicap dan air asam jawa, kacau hingga memdidih...
- masukkan buah tomato, hirisan kapsikum dan cili merah
- perasakan dengan garam dan gula...jika mahu banyak kuah..boleh tambah air asam lagi..ikut selera
- kemudian masukan ayam yang telah di goreng, kacau hingga sebati...
* jika suka pedas, boleh tambah lada hitam..
Siap untuk di hidang...

Friday, February 8, 2013

Homemade Pizza

Assalamulaikum....

Hari ini mama sedaya upaya cuba untuk meluangkan masa mengupdate resepi yang mama dah cuba banyak kali iaitu homemade pizza.
Walaupun resepi ini banyak terdapat di dalam blog masakan..mama tetap nak tulis resepinya di blog mama untuk rujukan mama dan anak-anak di masa akan datang.
Ucapan terima kasih tak terhingga kepada pemilik asal resepi ini iaitu Dayangjack - Dapur Ku Sayang. Walaupun begitu..tak semua resepi dari Dayangkack yang mama ambil, ada yang mama tambah sikit-sikit. Resepi doh juga mama guna resepi roti yang mama pernah share tak lama dulu. Buat kawan-kawan yang mahu mencuba resepi ini, sila buat topping/ fillingnya terlebih dahulu, kerana kita kene sejukkan topping itu sebelum di letak diatas base pizza kita nanti. Resepi ini mama buat dapat 2 loyang empat segi saiz 10x10 inci dan 1 loyang bulat saiz 9 inci, ermm..memang berbaloi..
Kepada Dayangjack..mama mohon izinkan mama share resepinya di sini yer.. ^_^


Homemade Pizza

Doh pizza:

500 g tepung roti @ tepung hight protien
1 biji telur
5 sudu besar gula kastor
1 sudu besar susu tepung
2 sudu besar susu pekat manis
2 sudu besar marjerin
1 sudu besar shortening
1 peket mauripan (11g)

~ campurkan susu pekat manis + telur + yis dan tambah air, jadikan 300 ml semua sekali - ketepikan

Cara :

- Dalam satu mangkuk besar masukkan tepung, susu tepung, gula, masukkan adunan 300ml air tadi dan gaul hingga sebati
- Masukkan marjerin dan shortening, uli lagi hingga adunan lembut, licin serta elastik
- Perapkan doh sehingga naik sekali ganda (perap lebih kurang 1 jam hingga 1 1/2jam)
- panaskan oven pada suhu 180c
- bila adunan sudah naik, uli dan tumbuk-tumbuk doh untuk keluarkan angin.
- kemudian canaikan mengikut saiz dulang/pan yang digunakan. Sapukan mentega pada dulang tersebut. Ambil doh secukupnya, canai doh menggunakan pengelek hingga leper tapi jangan nipis sangat dan letak doh tadi di atas dulang. Cucuk-cucukkan doh dengan garpu. Bakar selama 10 minit. Keluarkan.

Topping/filling:

- 400 g daging cincang (dicincang/minced)
- 3 ulas bawang putih (dicincang)
- 1 labu bawang besar (dihiris dadu kecil)
- 1/2 botol sos spagetti lada hitam (lain-lain pun boleh)
- sedikit garam dan gula
- 3 sudu besar mentega

untuk hiasan :
- sedikit oregano kering
- cendawan shitake/ cendawan butang
- hirisan nenas - potong kiub
- hirisan kapsikum - potong separuh bulat
- hirisan bawang besar - potong bulat
- Crab stick - potong bulat
- Mozarellah cheese parut secukupnya
- Cheddar cheese parut secukupnya
lain-lain ikut suka


Cara-cara :
- Panaskan mentega di dalam kuali. Tumis bawang putih dan bawang besar sampai perang.
- Masukkan minced beef/chicken dan kacau.
- Masukkan sos spagetti, kacau lagi..biar ia kering seketika.
- Kemudian masukkan garam dan gula kacau hingga pekat/kering - ketepikan


Untuk Sos Keju :

- 1 1/2 cawan susu segar
- 1 sudu besar mentega
- 1 sudu besar tepung gandum (dibancuh dgn sedikit air)
- 100g cream cheese
- sedikit lada sulah
- sedikit gula dan garam

Cara-cara :
- Cairkan mentega di dalam periuk/saucepan. Masukkan susu dan krim keju. Kacau hingga keju hancur. Masukkan bancuhan tepung, lada sulah, gula dan garam. Kacau lagi hingga pekat - ketepikan.


Cara menyusun topping :
- Sapukan sos tomato dan mayonis di serata doh pizza, diikuti dengan toppingnya (daging tadi yang telah di masak)
- susun nenas, crab stick, bawang besar, lada kapsikum, cendawan butang di atas doh pizza.
- Kemudian tuangkan sos keju di atasnya dan taburkan dengan keju parut dan oregano. Bakar selama 20 minit atau sehingga keperangan.





Tuesday, February 5, 2013

Mee Goreng Basah Style Mama

Assalamualaikum...

Selepas 4 hari berlalu, baru hari ni mama berkesempatan memberi laporan masakan..ececeee..macam penyampai berita pulakk..hihiii..
Di lewat petang ini, mama cuma nak share resepi mee goreng basah tapi style mama la yer..^_^
Ada macam-macam style nak buat mee goreng basah ni. Yang paling popular mestilah mee goreng basah style mamak..ye tak? Tapi tak kan la bila nak makan mee goreng basah je, kene pegi kedai mamak. Memakan masakan dari air tangan sendiri tu lebih afdal dan di jamin bersih. Kalo sesekali pegi mamak tu takpe la yerk..hehee..
Ok la..mari la kita tengok bahan-bahan dan cara membuatnya yang ringkas dan cepat. Resepi mama ni semuanya ringkas, cepat dan ofkozzzz lar sedapppp.. ^_^

Mee Goreng Basah Style Mama

Bahan:
500gm mee kuning (1 bungkus) - di cuci
3 biji bawang putih
2 sudu besar lada kering kisar
1 cawan isi ayam - di dadu
1 cawan udang - di buang kulit
1 cawan sotong - di potong bulat
2 genggam taugeh
3 batang pokok kucai - di potong 1cm
2 sudu besar sos tiram
2 sudu besar kicap manis
Sedikit garam dan gula

Cara:
- tumis bawang putih dan cili kisar hingga naik bau
- masuk isi ayam, biar separuh masak, masuk sotong, gaul lagi dan masuk udang
- biar rencah tadi masak, perasakan dengan garam dan gula kemudian masuk mee kuning
- gaul hingga sebati, masuk taugeh dan daun kucai
- sedia dihidang...
Sedap makan masa panas- panas..nyum nyum..




Thursday, January 31, 2013

Pavlova

Assalamulaikum....

Untuk kali ke dua dalam minggu ini, mama membuat pavlova..lova..lova...hihiiii
Pavlova kali ini atas permintaan en suami yang tak puas makan hari tu. Tapi kali ini pavlova yang mama buat tak semanis hari tu punya, mama dah kurangkan gula..jadi pavlova ni tak manis sangat.,just nice..;)
Resepi pavlova ni lebih kurang sama je..cuma mungkin dari segi bahan ada yang lebih dan ada yang kurang. Secara asasnya pavlova mempunyai resepi yang sama.
Kalo mengikut resepi asal, pavlova ni sejenis dessert yang sangat manis, sebab itu pavlova perlu di gandingkan dengan buah segar yang masam, seperti strawberry, kiwi, anggur, limau dan yang seangkatan dengan buah masam..hihihii
Pendek kata..ikut selera masing-masing.
Mungkin ada rakan-rakan kat luar tu yang lebih kteatif..boleh jer nak letak nenas atau buah mangga, buah masam juga kan.. ;)
Membuat pavlova juga sangat mudah. Dengan bahan yang sedikit, pavlova dapat di siapkan dalam masa 2 jam. Kenapa 2 jam? Sebab pavlova perlu di bakar menggunakan suhu yang rendah untuk menggelakkan permukaannya dari merekah dan untuk menggelakkan pavlova itu mentah.
Kepada kawan-kawan di luar sana..mari kita intai dapur kecil mama untuk melihat bahan dan cara membuatnya ^_^

Pavlova

Bahan:
4 biji putih telur
1/2 cawan gula kastor
1 sudu besar tepung jagung
1 sudu teh esen vanila
1 sudu teh cuka makan

Cara:
-Sediakan baking paper.
-Lukis bulatan atas baking paper (guna loyang 8 inci jer..zappp..dh jadi bulat)
-Terbalik kan baking paper, letak atas loyang empat segi yang lebih besar
-Panaskan oven dengan api bawah 170 C nanti bila dah masukkan pavlova turunkan suhu kepada 120-100C
-Pukul putih telur dengan kelajuan maksima hingga gebu
-Masukkan gula dan terus pukul hingga kental.
-masukkan tepung jagung, esen vanila dan cuka ke dalam adunan telur
-pukul sekejap hingga semua bahan sebati
- Letakkan adunan atas baking paper yg telah di buat bulatan tadi ratakan.
Jangan terlalu tebal dan jangan terlalu nipis
-Masukkan dalam oven dan bakar pada suhu 120-100C selama 1 jam hingga 1 jam 15 minit (ikut oven masing- masing yer..) atau sehingga permukaan pavlova kering dan keras (permukaan pavlova tak la keras sangat, ianya garing dan lembut-lembut jer)
-off kan oven dan biarkan pavlova dalam oven dengan pintu oven direnggangkan sedikit, sehingga ia sejuk dan kering sepenuhnya

Bahan Hiasan
Whipping Cream
Buah anggur tanpa biji - belah dua
Kiwi - didadu
Strawberry - di potong empat

Cara:
-Whiping Cream di pukul dgn kelajuan maksima hingga kental
-Letakkan whipping cream yg telah di pukul atas pavlova tadi
-Hiaskan dengan buah-buahan segar
-simpan dalam peti ais, enak di makan sejuk-sejuk..nyum..nyum..







Marie lapis cheezy

Assalamualaikum....

Petang yang redup tapi berangin..sungguh mendamaikan. Alhamdulillah..kurniaan Allah.
Pejam celik, pejam celik..dah sampai hari khamis. Kejap je masa berjalan. Sedar tak sedar kita sudah pun masuk bulan februari 2013.
Berbalik pada tajuk N3 kita pada hari ni, sudah lama juga mama tak buat marie lapis cheezy ni. Resepi yang mama buat ni mama campur-campurkan dari resepi-resepi yang ada dalam blog masakan. Jadi terhasil la satu resepi yang ringkas, mudah juga sedap.
Dessert ini memang sangat enak di nikmati semasa sejuk, suapan demi suapan ke dalam mulut bagai tak mahu berhenti...hehee..macam tu punya sedap.
Bagi mereka yang suka cheese..ini adalah satu dessert yang sangat sesuai.
Membuat dessert ini sangat mudah, tak perlu bakar atau kukus, cuma perlu peti ais untuk menyejukkan dessert ini saje.
Marie lapis cheezy ini ada bermacam-macam filling. Ikut selera masing-masing kan..tapi mama lebih suka letak filling sos chocolate sebab lebih terasa enak bila coklat dan cheese diganding bersama.
Ok..mari kita tengok betapa mudah dan ringkas cara membuat dessert ini ye.


Marie Lapis Cheezy

Bahan A
2 bungkus biskut marie perisa coklat
1 cawan susu segar,dipanaskan

Bahan B
500gm cheese cream (Philadelpia/Tartura)
1/2 cawan gula halus
* pukul cream cheese, masukkan gula dan terus pukul hingga cream cheese kental - ketepikan

Bahan C
100gm Non Dairy Whipping Cream (mama guna jenama RICH, gold label)
*pukul whipping cream hingga kental - ketepikan

Filling:
Rasberry
Sos chocolate

Bahan sos chocolate:
100gm chocolate masakan
100gm whipping cream (mama guna jenama RICH, gold label)
*campurkan ke dua-dua bahan dan masak dengan api sederhana kecil, kacau hingga chocolate larut sepenuhnya - ketepikan


Cara:
- Satukan adunan cream cheese (B) dan adunan whipping cream (C) kaup balik adunan hingga rata
- Masukkan adunan dalam piping bag untuk memudahkan kita melapis
- Dalam bekas yang sesuai, letakkan satu lapisan cream cheese
- Kemudian celupkan biskut marie dalam susu ( kejap je ) dan susun atas cream cheese tadi
- letak sos chocolate di atas biskut
- lapiskan semula dengan cream cheese
teruskan melapis berselang seli hingga penuh
- hias dengan rasberry di atasnya
Simpan dalam peti ais hingga sejuk dan mengeras
Hias mengikut kreativiti dan sedia dinikmati.. ^_^








Wednesday, January 30, 2013

Hokkaido Chiffon Cupcakes

Assalamulaikum....

Lama tak bersiaran..hihii..rasanya minggu ni mama terlalu sibuk, di tambah dengan kepenatan dalam rutin harian.
Walau pun begitu, mama ada mencuba resepi- resepi baru, cuma masa mama agak penuh. Jadi hari ni..mama cuba meluangkan masa untuk berkongsi satu lagi resepi cupcake.
Nama cupcake ni hokkaido chifon cupcakes. Di dalam fb sudah ramai yang mencuba, apatah lagi ramai yang sudah menjual cupcakes ini. Di sebabkan itu..maka mama pun bersemangat untuk cuba membuat dan merasai sendiri kesedapan dan keenakan cupcakes yang sungguh popular ini.
Resepi yang mama cuba ni..mama intai dari dapur kak Azlita Aziz, pemilik dapur Masam Manis. Tengok gambar cupcake yang kak azlita buat..memang kecur air liur di buatnya..hihii..
Betul lah apa yang di khabarkan..cupcake ini sangat enak dan lembut jer. Rasanya tak cukup dengan sekali suapan..eheheheee..
Bagi kawan-kawan yang mahu mencuba, adunan ini menghasilkan 8 biji kertas cawan bentuk 4 segi yang macam mama guna ni.
Untuk kak azlita..izinkan mama share resepi yang mabeless ni kt blog mama ye.. ^_^


Hokkaido Chifon Cupcakes

Bahan:

4 biji kuning telur
30 gm gula caster
1 sudu kecil esen vanila
40 ml susu segar
40 ml minyak canola ~ minyak makan pun boleh
55 gm tepung cake
20 gm tepung kastard
1 sudu kecil baking powder

4 biji putih telur
1/4 sudu kecil garam
80 gm gula kastor

Cara:

Panaskan oven pada suhu 170 C
Sediakan 8 biji ramekins bersaiz besar
Atau boleh juga guna mangkuk kertas cup cake yang keras
Atau boleh juga gunakan cawan muffin

Satukan tepung, tepung kastard dan baking powder. Kemudian di ayak 3 kali (mama ayak sekali je..hihiii..)
Pukul kuning telur dan gula menggunakan whisk aje
Tambahkan vanila, susu dan minyak dan pukul rata.
Masukkan bahan yang telah di ayak tadi dan gaul rata

Dalam bekas lain ~ pastikan bekas berkeadaaan kering
Pukul putih telur dan garam hingga berbuih
Tambahkan 80 gm gula sedikit sedikit dan terus memukul dengan kelajuan tinggi hingga adunan kental dan kaku (soft peaks)

Ambil 1/3 adunan putih telur dan masukkan dalam adunan tepung.
Gaul rata dgn menggunakan kaedah kaup balik (guna spatula jer..)
Kemudian masukkan baki adunan dan gaul hingga sempurna dengan kaedah yang sama

Tuangkan adunan dalam ramekins atau cawan kertas anggaran 80% penuh
Hentakkan sedikit bekas ramekins utk mengurangkan gelembung udara pada kek

Masukkan dalam oven dan bakar selama 20 - 30 minit (ikut oven masing- masing)
Keluarkan dari oven bila kek masak
Hentakkan bekas remakins sekali lagi dan biarkan kek sejuk
Bila kek sudah sejuk, bolehlah paipkan filling kedalamnya dengan menggunakan pipping bag.

Cream Custard
by : Honey

Bahan:

1 sudu besar tepung
1 sudu besar tepung jagung
4 sudu besar gula
200ml (1 cup) susu segar
1 biji telur (L size)
1 sudu besar mentega
1 sudu teh esen vanila

Cara:
Masukkan tepung, tepung jagung dan gula ke dalam mangkuk.
Masukkan 1-2 sudu besar susu. Kacau rata jangan ada yang berketul2
Masukkan telur dan kacau lagi.
Kemudian masukkan susu yang selebihnya dan kacau.
Wrapping mangkuk dan masukkan ke dalam microwave. Guna suhu yang tinggi.
Masak sehingga pekat.
Setiap 1 minit lebih bawa keluar dari microwave dan kacau.
Ulang sehingga pekat.
Bila dah siap, masukkan butter dan kacau rata.

Adunan ini boleh juga di masak atas dapur dgn api yg sederhana.
Adunan hendaklah dikacau untuk mendapatkan cream custard yg licin.

Selamat mencuba...^_^



Saturday, January 26, 2013

Spaghetti carbonara

Assalamualaikum....

Yeaaa..hari minggu...seronok bila tiba hari minggu macam ni. Sebagai suri rumah sepenuh masa, hari minggu memang hari yang di tunggu-tunggu. En suami dan anak-anak ada di rumah. Biasanya hari minggu ni hari "merayap" bagi keluarga mama..kikikiii
Kebiasaannya hari minggu ni mama masak yang simple-simple je. Kecuali lar kalo ada tetamu yang nak datang berkunjung, baru mama masak menu yang berat sikit.
Jadi hari ni mama masak spaghetti carbonara je, menu ni juga menu permintaan anak-anak. Mama suka masak menu ni sebab ianya mudah, cepat dan lazat...hihii..
Resepi asal mama cedok dari dapur scopio84@myresepi.com. Walau macam mana pun resepi yang mama nak kongsi ni mama ada buat perubahan sikit, mengikut selera anak-anak.
Dah! Takmo citer panjang-panjang..mari kita g intai-intai kat dapur tu ye.. ^_^


Spaghetti Carbonara

Bahan:

1 bungkus spaghetti (tak kisah apa jenis pun)
2 tin sos carbonara Prego
5 batang sosej (potong bulat)
3 biji bawang putih (cincang)
1/2 biji lada benggala hijau (potong kiub)
Sedikit mushroom butang fresh / dalam tin (dihiris)
1 cawan susu segar
Sedikit daun parsley / daun bawang
Garam secukup rasa
Sedikit lada hitam

Cara:

- spaghetti di rebus. (letak sedikit margerin/minyak untuk elak dia melekat) tos dan ketepikan
- tumiskan bawang putih hingga naik bau.
- masukkan sos carbonara dan susu segar
- masukkan mushroom, sosej dan lada benggala hijau
- kacau hingga cendawan dan sosej masak sepenuhnya
- letakkan garam dan sedikit lada hitam untuk perasanya,
- ambil sedikit spaghetti letak dalam pinggan yang sesuai, tuang sos serta hiaskan dengan daun parsley (mama letak daun bawang jer..)

Resepi yang simple kan? Selamat mencuba... ^_^

Super Moist Chocolate Cupcake

Assalamulaikum....

Setelah lama mama tak membuat kek atau cupcake, hari ni tetiba tekak terasa ingin sangat makan chocolate cupcake. Mungkin dulu masa mama berniaga homemade cake, selera nak makan kek ni kurang, jadi sekarang setelah lama "pencen" dari buat kek, baru selera tu datang..hihihii
Resepi ini adalah resepi yang mama niagakan dulu, tak ada perubahan yang mama lakukan, memang ini lah resepinya.
Kepada kawan-kawan di luar sana yang ingin berniaga cupcake dari rumah, resepi ini adalah satu resepi yang harus di cuba. Cupcake ini mempunyai rasa yang "mantop" bahan-bahan juga mudah dan simple (ececeee..masuk bakul angkat sendiri nampak..kikikii..)
Dalam entry kali ni, mama sharekan sekali resepi cream buttercream yang mudah dan tak muak.
Selain dari cream buttercream, cupcake ini juga boleh juga di hias menggunakan chocolate ganache, tapi resepi chocolate ganache akan mama kongsikan di masa akan datang ye.
Marilah kita lihat bahan dan cara membuat chocolate cupcake ini...^_^


Super Moist Chocolate Cupcake

Bahan:

100gm serbuk koko*
180gm gula pasir*
1 tin susu sejat*
200gm minyak masak*
250gm susu pekat manis*
4 biji telur - pukul hingga berbuih
150gm tepung gandum
1 sudu kecil soda bikarbonat
1 sudu kecil baking powder
Paper cup secukupnya

Cara:

- campurkan bahan yang bertanda * dan masak dengan api perlahan sehingga licin dan gula cair sepenuhnya. Tak payah sampai menggelegak.
- satukan telur yang telah di pukul tadi dengan bahan yang di masak, putar dengan kelajuan sederhana menggunakan mixer.
- campurkan bahan kering, tepung, soda bikarbonat dan baking powder ke dalam adunan tadi hingga sebati.
- setelah sebati, tapis adunan kek untuk mendapatkan tekstur yang halus dan benar-benar sebati (kalo tak tapis pun takpe..hehee..)
- panaskan oven dengan suhu 180c
- sediakan papercup dan tuang adunan separas 2/3 papercup atau sebanyak 27gm hingga 30gm untuk setiap papercup.
- adunan ini agak cair, jadi adalah lebih mudah jika kita menggunakan jug untuk menuang adunan ke dalam papercup.
- adunan ini menghasilkan sebanyak 50 cupcake bersaiz M.
- bakar selama 20 minit dengan suhu 180c bergantung pada oven masing-masing
- sejukkan dahulu sebelum di hias menggunakan cream buttercream atau chocolate ganache.
- kalo nak makan gitu pun sodappp..hihihii..

Cream Buttercream (tak muak)

Bahan:
500gm kreamwell
200gm icing sugar - di ayak

Cara:
- pukul kreamwell menggunakan mixer hingga kreamwell kembang sedikit, masuk icing sugar sikit demi sedikit hingga sebati dan cream agak kental sedikit.
- jika cream tadi kurang manis, boleh tambah icing sugar lagi, tetapi jika ada yang kurang gemar manis, boleh juga dikurangkan icing gula tadi ye..
- setelah icing sugar benar-benar sebati, cream ini sedia untuk digunakan...
Selamat mencuba... ^_^







Tuesday, January 22, 2013

Homemade Twisties

Assalamualaikum....

Sejak 2 minggu kebelakangan ni, mama teramat rajin membuat roti..hihihii..maklum lar baru dapat resepi roti yang gebuzz dan sedap. Tapi kali ni mama bukan nak kongsi resepi roti, sebab resepi roti telah pun mama kongsikan pada entry yang lepas.
Hari ni mama akan kongsi resepi membuat homemade twisties. Resepi ni mama dapat dari page Buku Resepi, tapi resepi asal dari Naimah Md Ludin. Cara dan bahan-bahan pun teramat mudah untuk kita dapatkan. Kepada tuan empunya resepi, izinkan mama kongsikan resepinya di sini ye :)
Kudapan ni sangat sesuai di makan ketika kita menonton tv. Sedar tak sedar semangkuk dah habis twisties ni..hik hik..
Jika ada kawan-kawan di luar sana nak buat berniaga masa musim perayaan pun boleh. Selalunya kudapan seperti ini yang akan habis dulu dari biskut raya..hehehee..
Apa lagi..mari kita ke dapur kecil mama untuk melihat macam mana nk buat homemade twisties ni ye.. ^_^

Homemade twisties

Bahan:
1 bungkus laksa kering
(di cuci bersih, di patahkan kecil- kecil, toskan dan dijemur di bawah matahari hingga kering)
- minyak secukupnya untuk menggoreng

Goreng laksa di dalam minyak yang panas hingga keputihan, angkat - ketepikan

2 sudu besar rempah kari daging
1 sudu besar nestum
1 sudu besar cheese powder
1/2 sudu besar gula
1/2 sudu teh garam
1/2 sudu teh serbuk pati ayam tumix (mama guna kiub ayam knorr)

Kisar semua bahan di atas hingga sebati (mama kisar guna pengisar kering)
Tuang bahan kisar ke atas laksa yang telah di goreng tadi. Goncang-goncangkan biar serbuk sebati dengan laksa.
Sedia di hidang..sedapp..ranggup je rasanya.. ^_^







Monday, January 21, 2013

Sandwich sardin

Assalamualaikum....

Pagi ni boleh pulak mama terbangun lewat..hihii..mujur dak kakak (anak sulong mama) kejut mama..kalo tidak..aje lambat lar anak-anak ke sekolah..kikikii..
Mungkin cuaca kat luar tu mendung..sejukk jer..tido pun sodapp. Tapi mama tak la bangun lewat sangat, dak kakak kejut mama pukul 6 pagi tadi. Biasanya mama bangun pukul 5.30 pagi untuk menyiapkan sarapan dan bekalan anak-anak ke sekolah.
Pagi ni, kakak ada bawa kek ke sekolah. Kek tu khas untuk birthday cikgunya dan mereka satu kelas mahu meraikankannya bersama- sama. Teringat pulak zaman sekolah dulu, zaman sekolah la zaman paling best sekali..betul kan?
Hmm..ok sekarang mari kita tengok resepi sandwich sardin yang ala-ala hotel ni..ehehehee...perasan la pulak. Sandwich sardin ni memang sedap dan mudah untuk di sediakan. Walaupun pagi tadi mama bangun lewat 1/2 jam, mama masih boleh menyediakan sandwich ni dengan cepat (syaratnya bahan- bahan mesti la ada ok) hihihii mari kita ke dapur kecil mama untuk sekodeng resepi yang mabelezz ni..^_^

Sandwich Sardin

Bahan:

1 bungkus roti (saiz jumbo)
3 sudu besar mayonis
1 biji tomato – didadu
1 tin sardin saiz sederhana – ditos sosnya
Daun salad secukupnya
Sedikit serbuk lada hitam atau lada hitam biji - di tumbuk

Cara:
- campur semua bahan kecuali roti ke dalam satu mangkuk, gaul sebati
- letak sikit inti tadi, letak daun salad atas inti, telangkupkan satu keping roti lagi di atasnya.
- potong 3 segi atau memanjang.
- siap..dah boleh di makan

p/s: kalo ada yang suka makan pedas, boleh tambah cili padi yang di cincang halus, gaul sekali dalam inti tadi. Boleh juga tambah 1 slice keju bagi setiap keping roti untuk rasa yang lagi uuummmphh!

Mudahkan..tak sampai 10 minit, dah boleh makan. Sandwich ni juga berkhasiat, sangat sesuai untuk anak-anak memulakan hari mereka ^_^

Friday, January 18, 2013

Bayam Goreng Ranggup

Assalamualaikum....

Pagi-pagi lagi en suami dah pergi pasar borong membeli lauk pauk untuk dijadikan hidangan kami sekeluarga. Kebiasaannya en suami akan membeli dalam kuantiti yang agak banyak, nk buat stok, tak yah la asyik nak ke pasar je..hihihii
Lauk-lauk seperti ikan, ayam dan daging boleh di simpan lama, tapi kalo sayuran hijau..tak boleh simpan lama. Itu la yang buat mama pening bila tengok en suami bawa balik seikat besar sayur bayam.
Separuh dari sayur bayam tu mama dah masak air untuk lauk tengah hari tadi, yang lagi separuh tu mama ingat nak buat bayam goreng ranggup. Resepinya mama main hentam jer. Bayam goreng ni sangat sedap di makan begitu jer, kalo nak lagi sedap cicah dengan sambal kicap, perghh..nyum nyum..
Masa mama tengah menggoreng bayam ni, en suami pun balik dari keje..di capainya sekeping bayam goreng ni.."ermm..sedappp..jadi popeye le petang ni.." hihihii..anak-anak mama yang tak suka makan sayur pun sangat suka dengan bayam goreng ni..siap nak lagi..hik hik hik..jadi ini adalah cara terbaik untuk membuatkan anak-anak kita makan sayur..
Ok meh la kita tengok resepinya yang sangat-sangat mudah..^_^

Bayam Goreng Rangup

Bahan:
Daun bayam secukupnya
10 sudu besar tepung beras
3 sudu besar tepung jagung
2 sudu besar serbuk kari
Garam secukup rasa
Air secukupnya
Minyak untuk menggoreng

Cara:
- ambil daun bayam yang lebar-lebar, cuci bersih, ketepikan
- campurkan kesemua tepung, serbuk kari dan garam ke dalam mangkuk, tambah air dan gaul hingga adunan sebati
- adunan tepung jangan terlalu cair atau terlalu pekat
- panaskan minyak, celup daun bayam ke dalam adunan tepung dan goreng hingga daun tadi garing
- siap di hidang.. ^_^

* selain daun bayam, sayuran lain pun boleh di goreng tepung, seperti lobak merah, kentang, sayur kangkung dan sebagainya.




Thursday, January 17, 2013

Butterscotch sos

Assalamualaikum....

Dalam tempoh seminggu ni, mama asyik meroti jer..hihii..almaklum lar..tengah ketagih dok buat roti sendiri. Dari mak mama hingga ke jiran-jiran mama pun ada yang bertanyakan resepi roti ni hihiihii...suka..suka...
Resepi roti telah pun mama share pada kawan-kawan kat luar sana dalam entry yang lepas, jadi kali ni mama nak share resepi butterscotch sos yang memang mabeles sedap tu.
Resepi ini juga mama ambil dari blog mas, tuan empunya resepi roti lembut yang mama sharekan tempoh hari. Resepi ni agak manis sedikit, jadi kepada kawan-kawan yang kurang gemar makan manis, boleh kurangkan kuantiti gulanya ye.
Di sini mama ada sediakan 2 resepi butterscotch sos, bagi diri mama, sos no 2, adalah sos yang terbaik, sedap dan lemak manis.
Mari kita tengok bahan-bahan dan cara membuat butterscotch sos yang mudah dan ofkozzz lar sedapppp... ^_^


Butterscotch sos

Bahan :

1/2 cawan gula perang
1/2 cawan gula pasir
1/2 cawan air
1 sudu teh esen vanilla
1/4 cawan tepung gandum
1/2 cawan butter
secubit garam (optional - mama tak letak pun)


Cara :

- Satukan gula perang, gula pasir, tepung dan air ke dalam periuk kecil, gaul hingga sebati.
- Masak atas api yang kecil hingga gula hancur, tambah esen vanilla dan butter.
- Masak dan kacau sehingga butter cair dan sedikit pekat
- Sejukkan dan tuang ke atas roti kosong, enak juga di makan semasa sos suam-suam..ermmm..nyummmyyy... ^_^

Nota:
Kacau atas api hanya sedikit pekat sebab bila sos ni sejuk, ianya makin pekat. Tapi kalau dah pekat sangat tambah je sikit lagi air panas.
Boleh kurangkan sikit gula kalau tak mau manis sangat.
Simpan sos ni dalam freeze, dalam seminggu masih ok lagi.


Resepi ke 2 butterscotch sos

Bhn:
150gm butter
1 1/2 cawan gula perang
1 cawan whipping cream / heavy cream / thick cream
1/2 sudu kecil garam - optional

Cara:

- Ambil butter dan masukkan ke dalam periuk kecil
- Panaskan atas dapur dengan api yang sederhana hingga butter mencair
Kemudian masukkan gula perang
Masak hingga gula melarut
Selepas itu masukkan garam dan whipping cream / heavy cream / thick cream
Kacau hingga ia licin dan berkilat
Matikan api dan biarkan butterscotch sejuk sepenuhnya.



Roti Lembut gebu

Assalamulaikum....

Sudah lama mama mencari resepi roti yang lembut, mudah nak buat dan sedap di makan. Akhirnya mama terjumpa resepi roti yang di idamkan..hihii
Sebenarnya sebelum ini, mama pernah cuba buat roti, tapi tak menjadi, menyebabkan mama rasa menyerah jer..huhuhuu (menyerah beli kat tesco jer) :(
Tetapi tanpa di sangka- sangka, mama boleh terjumpa blog mas..melihatkan rotinya yg lembut, butterscotchnya yang memang mengancam..pergghhh...sampai termimpi-mimpi..aduhhh...nk kene buat juga ni
Maka keesokkan hari, mama pun terus ke kedai bakery, membeli barang-barang yang diperlukan untuk membuat roti
Mari kita sama-sama cuba buat roti sendiri di rumah ^_^


Roti lembut gebu

Bahan:

500 g tepung roti @ tepung gandum @ tepung hight protien
1 biji telur
3/4 cawan gula kastor
1 sudu besar susu tepung
2 sudu besar susu pekat manis
2 sudu besar marjerin
1 sudu besar shortening
1 peket mauripan (11g)
Sedikit bijan / cheddar cheese / gula

~ campurkan susu pekat manis + telur + yis dan tambah air, jadikan 300 ml semua sekali - ketepikan

~ sebiji kuning telur + 1sudu fresh milk/susu cair - bancuhan ini untuk di sapu atas bun sebelum di bakar, boleh tambah susu jika bancuhan nampak pekat

Cara :

- Dalam satu mangkuk besar masukkan tepung, susu tepung, gula, masukkan adunan 300ml air tadi dan gaul hingga sebati
- Masukkan marjerin dan shortening, uli lagi hingga adunan lembut, licin serta elastik
- Perapkan doh sehingga naik sekali ganda (perap lebih kurang 1 jam hingga 1 1/2jam)
- bila adunan sudah naik, uli dan tumbuk-tumbuk doh untuk keluarkan angin.
- Ambil sedikit dan buat doh kecil-kecil, timbang 50gm setiap satu doh kecil itu. susun dalam loyang yang telah di oles dengan sedikit marjerin (jangan susun rapat-rapat, jarakkan sikit, nanti doh kecil tadi akan membesar)
- jika nak buat roti yang ada sosej atau cheese, boleh timbang berat doh dalam 30gm hingga 40gm (kalo nak besar lagi pun boleh, nanti roti tu jadi besar kebabom lar..hihihii ..)
- setelah siap di bentuk, perap lagi 1/2 jam atau hingga doh besar sakali ganda, sapukan bancuhan kuning telur ke atas doh kecil tadi, taburkan sedikit bijan (boleh juga tabur gula atau cheddar cheese, tapi cheese tu tak yah banyak sangat, jadi pizza pulak nanti..keh keh keh..)
- Bakar dalam oven dengan suhu 180c selama 20 minit atau hingga masak, dengan api atas bawah
- setelah roti masak, keluarkan dari oven, sapu dengan sedikit marjerin/ butter untuk menggelakkan bun kita menjadi kering.
- Kaedah lain menggunakan Bread Maschine boleh set kan macam biasa untuk buat doh.
- jika mahu membuat pizza, boleh guna adunan yang sama tapi kurangkan kuantiti gula

** di bawah ni ada beberapa contoh gambar membuat roti yang mama ambil dari blog kawan-kawan. Izinkan mama share di sini gambarnya supaya mudah untuk mama dan anak-anak buat rujukan. Roti yang pelbagai design ni lebih digemari oleh anak-anak..^_^









Wednesday, January 9, 2013

Ayam Kukus Cendawan

Assalamualaikum....

Sudah lama tak bersiaran..ecececeee...hihii..ngengade pulak mama pepagi ni. Sesambil nak tunggu anak-anak balik sekolah, mama suka la nk kongsi resepi yang mama masak semalam. Dalam rumah mama ni, lauk biasa yang di masak adalah ayam..asyik ayammm jer..naik buntu kepala nak masak apa cik yam ni. Jadi mama pun mengoogle ler..terjumpa resepi ayam masak cendawan, bunyi sedap, rasanya laagii sedappp..heheheee
Sebab apa mama kata sedap? Sebab tester-tester bertauliah kat dalam rumah ni, makan bertambah-tambah. Sampaikan mama kene masak lagi untuk makan malam, ishh ishh ishhh....
Mama ucapkan ribuan terima kasih pada pemilik resepi ni Amie's little kitchen. Kalo kawan-kawan kat luar tu nak tengok resepi asal boleh pergi ke blog amie's. Resepi ni mama dah tambah-tambah ikut selera anak-anak. Mama mohon izinkan mama share kat blog mama ni sebagai rujukan mama dan anak-anak di masa akan datang. Kawan-kawan kat luar tu kalo nak buat rujukan pun boleh. Mama memang suka share resepi yang mama dah try buat, kepada semua. Ilmu harus di kongsi kann.. ^_^



Ayam Kukus Cendawan

Bahan:
2 keping ayam bahagian peha - dipotong
1 inci halia - hiris halus
3 biji bawang putih - dicincang
5 kuntum cendawan shiitake segar (kalo nak guna yang kering, rendam dahulu) dhiris sederhana nipis
1 kiub pati ayam
1 sudu kecil garam
2 sudu minyak bijan

Cara:
- didihkan air dalam kukusan
- ayam di gaul dengan garam, kiub pati ayam dan bawang putih hingga rata
- susun ayam dalam bekas yang sesuai
- taburkan halia dan cendawan shiitake
- kukus selama 1/2 jam atau sehingga masak
- setelah masak keluarkan, renjis dengan minyak bijan dan hias ikut suka ^_^




Japanes Cheese Cake

Assalamualaikum....

Dah agak lama mama tak mengupdate kat blog ni. Semenjak semester baru sekolah bermula, jadual mama agak padat. Tak menang kaki tangan la kiranya..amboiii..sibuk bebenor ni..hihihiii
Walau pun begitu, sebenarnya mama ada juga try resepi-resepi baru, cuma tak berkesempatan nak taip di sini. Jadi hari ni mama nk share resepi japanes cheese cake. Rasanya ramai yang dah buat kek ni, mama je yang ketinggalan..huhuu. Kek ni sedap, tak begitu muak, lembut dan gebuss jer.
Mama dapat resepi ni dari teman-teman di fb, bila dapat je..petang tu juga mama try buat..alhamdulillah..menjadi. Yang paling penting En suami suka..anak-anak lagilah suka..cheese cake memang kegemaran anak-anak mama.
Bahan- bahan untuk kek ni pun senang, dan kebetulan hampir kesemua bahan ni ada dalam simpanan, cuma cream of tatar tu je yang nak kene beli, jadi mari kita ke dapur dan tengok resepinya ye.. ^_^

Japanes Cheese Cake

Bahan:
7 keping cheddar cheese
200 ml susu segar/susu cair
4 biji telur
75 gm tepung naik sendiri
75 gm butter
100gm gula halus
1/2 sudu kecil cream of tatar

Cara:
- koyakkan cheesa kecil-kecil dan campurkan dengan susu, masak dengan api perlahan, kacau selalu, bila dah hancur masukkan butter, masak lagi hingga butter cair, tutup api - sejukkan.
- asingkan putih telur dengan kuning dalam bekas berlainan
- pukul putih telur hingga hingga kembang, masukkan gula dan cream of tatar dan pukul lagi hingga menjadi meringue (bertanduk) - ketepikan
- kuning telur di pukul hingga kembang dan masukkan adunan cheese tadi (ditapis)
- masukkan tepung sikit-sikit, pukul dengan kelajuan yang perlahan hingga sebati.
- masukkan adunan putih telur dan kaup balikkan adunan sehingga sebati.
- lapikkan loyang bersaiz 7 inci dan oleskan dengan sedikit butter
- tuang adunan ke dalam loyang dan bakar secara stim (letak loyang dalam bekas berisi air dan bakar)
- oven mestilah dipanaskan dahulu, bakar kek selama 1jam 15 minit - mengikut kepanasan oven masing- masing
Selamat memcuba ^_^

Wednesday, January 2, 2013

Murtabak Kraker

Assalamualaikum....

Hari ni mama rasa kurang sihat, badan terasa lemau jer...hidung sempit, kepala pusing..ermm..memang sah ini tanda-tanda mama sedang menghadapai demam selsema. Walau pun badan tak berapa sihat, rutin harian tetap di galas dengan sebaik mungkin. Kesian pulak kat anak-anak yang kelaparan bila balik dari sekolah nanti. Lewat petang dak kakak nak pergi tution pulak, mujur hari ni teacher dia datang amek dari rumah, takde la mama terkocoh-kocoh nak hantar dia ke tempat tution, mana nak amek adiknya dari sekolah agama lagi..huhu...supermama lar....
Tidak seperti hari cuti sekolah, mama jarang buat makan petang, memandangkan hanya mama dan baby saje yang ada di rumah. En suami dan anak-anak balik lewat petang. Kebiasaanya kami terus makan malam. Sebelah malam pula anak-anak akan membuat kerja sekolah, kemudian mereka terus tido keletihan.
Untuk resepi kali ini mama akan kongsikan satu lagi resepi mudah dan pastinya sedap. Gambar mama amek dari album simpanan mama yang memang ada dalam phone, jadi takde ler gambar baru ye..ada banyak resepi murtabak, tapi resepi mama ni sangat ringkas. Mari kita tengok resepi dan caranya.

Murtabak Kraker

Bahan:

1 bungkus biskut kraker
10 biji telur - di pukul
1 bungkus daging kisar - di cuci bersih
4 biji bawang merah
2 biji bawang putih
1/2 inci halia
2 sudu besar serbuk kari
Sedikit garam dan perasa
2 biji bawang besar -di dadu
2 biji cili merah - di hiris nipis-nipis
Sedikit daun sup/ daun bawang - di cincang sederhana halus
Sos cili secukupnya

Cara:
- bawang merah, bawang putih dan halia di belendar halus
- panaskan minyak, tumis bahan yang dibelender tadi hingga naik bau.
- serbuk kari di bancuh dengan sedikit air, masuk ke dalam bahan tumisan tadi, masak hingga pecah minyak dan masukkan daging cincang.
- masuk bawang besar yang di dadu, perasakan dengan garam, masak hingga garing sedikit, angkat dan sejukkan.
- setelah sejuk, masukkan daging ke dalam telur yang telah di pukul.
- sediakan loyang bersaiz 8x8 inci, oleskan dengan sedikit butter/ marjerin
- dalam satu mangkuk yang berisi air masak putih, Celup biskut kraker dan susun kedalam loyang tadi hingga menutupi bahagian bawah loyang
- letak campuran daging tadi ke atas biskut, ratakan, letak sedikit hirisan lada di atas daging dan susun semula biskut yang telah di celup dengan air, buat sehingga 3 lapisan, bahagian atas mestilah biskut.
- masak di dalam oven dengan suhu 180c selama 1 jam atau sehingga murtabak kita masak. (Oven hendaklah di panaskan dahulu sebelum mula membakar)
- setelah masak sejukkan, keluarkan dan hias dengan sos cili serta daun sup/ daun bawang.





Tuesday, January 1, 2013

Roti Gulung Sosej

Assalamualaikum...

Hari ni 2/1/2013, maknanya hari pertama persekolahan pada tahun ini. Dari semalam lagi anak-anak mama dah pesan "mama mesti kejut kita orang semua bangun tido pukul 5.30 pagi, kita orang nak pegi sekolah pukul 6.30 pagi, sebab nak rebut tempat kat dalam kelas..." Aduhaii..anak ooo..anak.. Macam tu la kebiasaannya bila hari pertama sekolah, hari pertama jer..hari ke dua dan seterusnya mama biasa kejutkan mereka pukul 5.45 atau pukul 6 pagi.
Bila start je hari sekolah, mama pun sibuk la menyiapkan sarapan pagi untuk semua, biasanya mama bekalkan makanan untuk anak-anak ke sekolah, duit belanja tetap mereka dapat, mana la tau jika ada keperluan yang perlu di beli. Jika mereka tidak membeli apa-apa di sekolah, mama selalu pesan, simpan duit tu..kumpul sikit-sikit, nanti nak beli apa-apa senang, bila dah penuh tabung boleh simpan dalam bank. Sifat menabung memang mama dah tanamkan dalam diri anak-anak sejak dari kecil lagi.
Bercakap pasal sarapan dan bekalan, mama kadang-kadang buntu juga nak buat apa. Biasa lar..bila pagi-pagi dah kene makan, budak- budak ni susah sikit.
Jadi mama kene buat makanan yang boleh menaikkan selera mereka. Sebelum sarapan, mama akan beri anak-anak susu dahulu, selepas itu baru mereka makan . Jadi pagi ni mama buat roti gulung sosej dan roti gulung sosej berkeju. Biasanya yang ada keju akan habis dulu.,.hihihiii
Walaupun ramai dah tau macam mana nak buat roti gulung sosej, mama tetap akan beri resepi kat sini sebagai rujukan anak-anak mama nanti ^_^

Roti Gulung Sosej

Bahan:

1 bungkus roti jumbo
1 bungkus sosej
1 bungkus slice cheese
2 biji telur - pukul hingga sebati
2 sudu tepung gandum
Serbuk roti secukupnya
Minyak untuk menggoreng

Cara:

- 2 sudu tepung gandum di bancuh dengan 2 atau 3 sudu air - ketepikan (tepung ni bertindak macam gam untuk roti kita nanti)
- ambil sekeping roti dan leperkan dengan kayu giling.
- bila roti dah betul-betul leper, ambil keju letak atas roti dan letak sosej di atas keju, gulungkan dalam roti tadi, gam hujungnya dengan bancuhan tepung tadi. Buat hingga habis.
- panaskan minyak, celup roti dalam telur yang telah di pukul, salut roti dengan serbuk roti dan goreng dalam minyak yang panas hingga keemasan, angkat dan sedia di hidang.
Mudahkan.. ^_^




Kek Butter Pelangi Kaseh Mama

Assalamualaikum...

Sejak beberapa hari ni cuaca sekejap panas, mendung, hujan dan kejap- kejap hujan renyai. Mujur pada sebelah pagi cuaca panas. Mama pun sibuk mengejar cuaca panas untuk memgeringkan baju yang sudah di basuh, tak dapat kering semua, kering separuh pun cukup lar kan?
Bercakap tentang cuaca yang suram dan hujan ni membuatkan perut asyik berbunyi jer..sarapan pagi sudah..makan tengahari pun sudah..ni nak makan petang pulak..aduhhh..apa nak buat ni??
Hhmmm..kebetulan mak mama nak datang bersama dengan adik ipar, mak datang nak ajar mama buat kek pelangi katanya. Mak mama kata kek pelangi dia mudah, tak payah timbang-timbang, sukat guna cawan jer. Ni yang mama suka, mama memang suka memcuba resepi baru. Bahan- bahan pun senang, bahan yang kebanyakannya ada di rumah.
Rupa-rupanya kek yang mak mama nak ajar ni mama pernah buat. Kek butter rupanya..hihihii..tapi resepi mama tu guna sukatan timbang. Jadi mama tukar nama kek ni jadi kek butter pelangi kaseh mama..sebab mama buat kek ni guna butter dan di buat dengan kasih sayang gitu..ehehehee...
Mari kita tengok resepi yang super duper senang dan mabelesss sedappp ni..^_^

Kek Butter Pelangi Kaseh Mama

Bahan:
1 cawan butter (mama guna buttermas)
1 cawan gula kastor
3/4 cawan tepung gandum
1 cawan tepung naik sendiri
5 biji telur
1/2 sudu teh baking powder
1 sudu teh esen vanilla
Pewarna merah, biru dan kuning
*mama guna sukatan mug besar*

Cara:
- tepung gandum,tepung naik sendiri dan baking powder di ayak - ketepikan
- pukul butter dan gula hingga kembang dan putih
- masuk telur satu persatu dan terus putar hingga telur tadi sebati, masukkan esen vanilla, pukul lagi dengan kelajuan sederhana
- masukkan campuran tepung tadi sikit demi sedikit hingga sebati
- bahagikan adunan tadi kepada 3 bahagian, warnakan setiap bahagian dengan pewarna merah, biru dan kuning
- sediakan loyang 9" yang telah di oles dengan sedikit butter.
- Letak 2 sudu besar warna merah di tengah-tengah loyang, diikuti warna kuning menindih di tengah-tengah warna merah dan seterusnya warna kuning...buat langkah tadi hingga habis semua adunan tadi.
- bakar dengan suhu 180c selama 1 jam (bergantung pada oven masing-masing)
- setelah kek masak, biarkan dalam 5 minit dan telungkupkan di atas jaringan hingga kek sejuk. Setelah itu boleh lah di potong dan dihidangkan..siapppp
Selamat mencuba...^_^